Wednesday, August 11, 2010

Nasihat Imam Gazali



Petikan dari Kitab Bidayatul Hidayah , Imam Ghazali Rahimahullah


Ketika berbuka puasa, hendaklah engkau berusaha supaya semua makanan yang engkau makan itu halal. Dan jangan engkau memperbanyakkan makan dengan memakan yang lebih dari kebiasaan yang engkau makan pada waktu malam. Apabila engkau menghimpunkan makanan siang kepada malam untuk engkau makan sekaligus ketika berbuka puasa maka itu hanyalah memindahkan waktu makan sahaja maka tidak ada makna puasa bagimu. Sedangkan yang dimaksudkan daripada puasa itu ialah memecahkan syahwatmu dan melemahkan kekuatannya supaya engkau dapat lebih berpeluang untuk menambah ketaqwaan tetapi apabila engkau hanya menghimpunkan makan siang kepada makan malam maka apakah maknanya puasamu?


Bahkan perutmu (di waktu malam) akan lebih berat lagi, sedangkan tidak ada sebarang bekas(tempat) yang lebih dimurkai di sisi Allah yang lebih daripada perut yang dipenuhkan dengan makanan yang halal, maka betapa pula halnya kalau perutmu itu dipenuhi dengan makanan yang haram.


Apabila engkau sudah faham makna puasa ini maka perbanyaklah olehmu daripadanya mengikut kemampuanmu kerana puasa itu adalah asas (yang memudahkan) segala ibadat yang lain dan kunci kepada segala ketaatan. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda:


"Allah berfirman (di dalam hadis qudsi) bahawa setiap kebaikan itu akan digandakan sepuluh kali sehingga sampai tujuh ratus kali ganda (mengikut keikhlasan dan keindahan amalan tersebut) kecuali puasa itu untukKu dan Akulah yang akan langsung membalasnya (dengan balasan sangat banyak yang tidak terbilang banyaknya)."

No comments: